KUCHING 27 Okt. – Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah menamatkan siasatan berhubung kelewatan projek pembinaan kompleks penjara Kuching, yang memakan masa 10 tahun untuk siap dibina.

The administration block of Sarawak prison in Kuching.

Bekas Pengarah BPR Sarawak, Mohamad Yusoff Akope yang kini Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat di ibu pejabat BPR di Putrajaya berkata, kertas siasatan berhubung kes itu sudah disiapkan dan kini terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk memutuskan sekiranya sebarang tindakan undang-undang boleh diambil.

”Kami sudah menamatkan siasatan sebulan lalu,” katanya kepada Bernama semasa ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan tersebut, yang diarah oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri selepas melawat kawasan tapak projek itu pada 17 April 2006.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas sekiranya BPR mempunyai kes yang kukuh untuk tindakan undang-undang dan berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada Timbalan Pendakwa Raya kerana ia adalah hak prerogatifnya.

Mohamad Yusoff ditukarkan ke Putrajaya pada 6 Oktober lepas dan tempatnya di sini diambil alih oleh bekas Pengarah BPR Perak, Shamsiah Abu Bakar.

Januari lepas, Mohamad Yusof dilaporkan berkata, siasatan itu sepatutnya disiapkan pada Disember 2007, tapi disebabkan kes itu dilihat terlalu kompleks, lebih banyak masa diperlukan bagi membolehkan siasatan menyeluruh dijalankan dan ia pada mulanya dijangka siap Julai lepas.

Namun disebabkan keadaan yang tidak dapat dielakkan, Jun lepas Mohamad Yusof berkata, BPR belum menyiapkan siasatannya memandangkan ia masih menunggu laporan penilaian teknikal dari Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana borang dari jabatan itu merupakan komponen utama siasatan, bagi membolehkan BPR menjalankan siasatan menyeluruh berhubung perkara itu.

Minggu lepas, kumpulan terakhir ‘penghuni’ Penjara Kuching di Jalan Tabuan yang berusia 120 tahun itu dipindahkan ke Penjara Kuching yang baru di Jalan Puncak Borneo selepas mengharungi penantian selama hampir 10 tahun.

Dibina atas tapak seluas 20.8 hektar, penjara baru itu boleh menempatkan 500 banduan lelaki dan 150 banduan wanita pada satu-satu masa dan ia sepatutnya disiapkan pada Ogos 2000 dengan anggaran kos awal RM165 juta, namun ia kemudiannya dikurangkan kepada RM98 juta.

Ia kini memiliki 216 petugas dan dilengkapi kuarters pegawai, masjid dan taman permainan kanak-kanak. – Bernama