Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara rasmi mengekalkan jawatannya bagi penggal ke lima pada pemilihan parti itu yang akan diadakan awal bulan depan, lapor Harakah.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang disahkan menang tanpa bertanding selepas seorang lagi calon yang dicalonkan merebut jawatan berkenaan tidak layak bertanding kerana gagal mendapat pencalonan yang cukup.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman ketika mengumumkan perkara tersebut berkata, setiap calon memerlukan dua pencalonan daripada PAS kawasan bagi melayakkan mereka bertanding.

Sebelum ini PAS Kawasan Bukit Bintang menerusi mesyuarat agungnya membuat kejutan apabila mencalonkan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa bagi merebut jawatan nombor satu parti itu.

Sementara itu bagi jawatan Timbalan Presiden, seramai enam calon layak bertanding bagi jawatan berkenaan termasuk penyandang jawatan berkenaan, Nasharudin Mat Isa.

Lima yang lain ialah Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak; Husam; Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu; serta dua Naib Presiden iaitu Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sebelum ini Nasharudin mengesahkan akan mempertahankan jawatannya itu sementara Mohamad turut menawarkan diri bertanding bagi jawatan berkenaan.

Selain itu bagi jawatan Naib Presiden, seramai 14 calon yang layak bertanding termasuk Azizan, Husam, Mohamad Sabu, Nasharudin, Salahudin dan Tuan Ibrahim.

Lapan lagi layak bertanding bagi jawatan tersebut ialah seorang lagi penyandang, Datuk Mahfuz Omar; Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad; Pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman; Timbalan Pesuruhjaya Pas III Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah; Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli; Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Dr Mujahid Yusof Rawa; Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Nik Zawawi Salleh dan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Difahamkan seramai 1,100 perwakilan layak mengundi pada pemilihan kali ini yang dijadual diadakan pada 3 Mei depan.