Presiden PRS menyarankan agar kerajaan menaikan harga petrol RON97 dan kekalkan harga RON95 menyedari impak kenaikan harga petrol berkenaan kepada pengguna terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

Datuk Seri James Jemut Masing

Datuk Seri James Jemut Masing berkata kenaikan harga petrol RON97 tidak memberi impak besar memandangkan ia diguna oleh kenderaan besar dan mewah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.

Ismail Sabri, berkata kerajaan mahu rakyat bersedia kemungkinan berlakunya kenaikan harga petrol RON95, memandangkan kajian mengenai rasionalisasi subsidi dijangka dibuat sekali lagi bulan depan.

Menurut Masing, langkah terbaik dilakukan kerajaan untuk mengimbangi harga atau mengekalkan nilai subsidi RON95 ialah menaikkan harga RON97 kerana petrol jenis ini hanya digunakan oleh kereta berprestasi tinggi dan biasanya dimiliki golongan berpendapatan tinggi.

“Saya percaya kalau harga RON97 dinaikkan golongan ini (berpendapatan tinggi) masih mampu. Sedangkan RON95 digunakan oleh golongan berpendapatan sederhana hingga rendah dan kalau dinaikan pada kadar yang tinggi pasti membebankan mereka,” katanya kepada Utusan Borneo.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu rakyat bersedia kemungkinan berlakunya kenaikan harga petrol RON95.

Kali terakhir harga RON95 naik ialah pada Disember tahun lalu iaitu sebanyak lima sen kepada RM1.90 seliter.

Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) berkata kenaikan harga petrol RON95 setakat ini masih pada tahap yang tidak membebankan jika dibandingkan dengan harga dikenakan di negara jiran.

Bagaimanapun katanya kerajaan tidak boleh secara berterusan memberi keutamaan kepada pemberian subsidi hanya untuk petrol kerana usaha itu hanya akan menyebabkan pembangunan lain yang lebih penting tidak dapat dilaksanakan.

“Jangan sampai tiada duit untuk peruntukan pembangunan lain yang lebih penting kerana kerajaan terlalu memfokus kepada petrol,” ujarnya.