Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan berada di Bintulu pada 4 Jun untuk meraikan Hari Gawai bersama PKR Bintulu.

Pengerusi PKR Bintulu Paul Raja memaklumkan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan ke dua rumah panjang sekitar Bintulu pada 4 Jun depan sempena sambutan Hari Gawai.

Pada sebelah malam hari tersebut, Anwar akan menyampaikan ceramah di Restoran Mandarin di Medan Raya bermula jam 7.30 malam.

Majlis Hari Gawai Pakatan tersebut adalah anjuran bersama komponen parti dalam Pakatan Rakyat iaitu DAP, PAS dan PKR.

“Anwar akan menyampaikan amanatnya kepada ketua-ketua Pakatan Rakyat dan semua penduduk di sini dijemput untuk menghadiri ceramah itu.

“Kami menganggarkan 1,000 peserta menghadiri ceramah itu dan kemasukan adalah percuma,” kata Paul.

Selang beberapa minggu kemudian, pada 18 Jun mulai jam 6.30 petang, PKR Bintulu pula akan mengadakan makan malam Hari Gawai sambil mengumpul dana bertema `Bersatu Kita Menang’.

Tiket-tiket untuk VVIP, VIP dan tiket biasa telah pun dijual dan untuk keterangan lanjut sila hubungi Kenedy Paing di talian 019-8552253 atau Kong (013-8331620).

“Semua dijemput hadir ke majlis itu,” katanya sambil mengucapkan selamat Hari Gawai kepada semua kaum Dayak yang menyambut perayaan itu.