Pesuruhjaya polis negeri Sarawak Datuk Mohmad Salleh menyerah sijil Rakan Cop kepada Penghulu Chabi sambil diperhatikan oleh Senator Pau (kanan) dan Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Madang Usat

Program rakan cop yang dimulakan pada tahun 2004 berperanan amat penting dalam kejayaan polis membanteras dan mengurangkan kadar jenayah di Malaysia menurut Pesuruhjaya Polis negeri Sarawak, Datuk Mohmad bin Salleh.

“Bayangkan dengan hanya sebanyak 12,076 ahli rakan cop di Sarawak kita telah berjaya mengurangkan kadar jenayah hampir 25 peratus tiga tahun berturut-turut,” katanya ketika merasmikan program Rakan Cop di Bintulu hari ini.

Tambah beliau, jika sebanyak 10 peratus daripada penduduk Sarawak menjadi ahli rakan cop, sudah pasti kadar jenayah di negeri ini akan berjayakan dikurangkan lagi.

Menurut Datuk Mohmad Salleh, program rakan cop adalah bertujuan untuk menyedarkan masyarakat supaya mereka lebih prihatin akan keselamatan persekitaran sendiri kerana pasukan polis tidak boleh menghapuskan kadar jenayah secara lebih berkesan tanpa bantuan dan sokongan semua lapisan masyarakat.

Beliau menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk bersama-sama meningkatkan penglibatan awam dalam program rakan cop demi kejayaan dan keberkesanannya dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam di samping pihak polis.

“Penglibatan masyarakat dalam rukun tetangga, neighboorhood watch telah berjaya membentuk masyarakat yang prihatin, peka untuk membantu menjadikan kawasan yang mereka huni bebas dari sebarang aktiviti jenayah,” kata beliau.

Pelancaran rakan cop di Bintulu hari ini julung kali dilancarkan oleh pihak polis di Bahagian Bintulu.

Demonstrasi oleh pasukan polis Bintulu cara-cara membanteras jenayah ragut motosikal ketika majlis pelancaran Rakan Cop, di Bintulu pagi tadi.

Polis kontinjen Sarawak menurut Datuk Mohmad Salleh akan melancarkan lebih banyak program rakan cop di Bahagian Bintulu pada masa akan datang.

Semasa majlis tersebut pesuruhjaya polis negeri menyerahkan sijil penyertaan rakan cop kepada tiga ketua suku kaum – mewakili kaum Cina, Melayu dan Iban.

Penghulu Chabi anak Nangop ketika ditemui selepas majlis berkata beliau menyokong penuh usaha polis dalam menjayakan program rakan cop di Bintulu.

“Program ini amat berfaedah terutamanya dalam membanteras jenayah ringan dan jalanan yang berlaku di kawasan saya,” katanya.

Seorang lagi ketua kaum iaitu Pangeran Hamdan bin Pangeran Hj Kerta dari Kampung Assyakirin Fasa 1 berkata kadar kes pecah rumah dan kecurian di kampungnya telah berkurang semenjak kewujudan program tetangga rakan cop.

Keahlian rakan cop terbuka kepada semua orang yang memiliki telefon bimbit dan yuran keahlian sebanyak RM1 akan dikenakan dengan menolak baki kredit telefon bimbit anda.

Pendaftaran amat mudah iaitu melalui SMS sahaja, anda tidak perlu pergi ke mana-mana balai polis.

SMS yang dihantar oleh ahli rakan cop yang berdaftar adalah percuma, manakala yang tidak berdaftar akan dikenakan caj bagi setiap SMS yang dihantar.

Pihak polis akan memberi penghargaan dan pengiktirafan kepada ahli rakan cop yang aktif memberi maklumat berkenaan sesebuah kes sehingga ia berjaya diselesaikan.