Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Awam dan Swasta dan beberapa agensi bahasa perlu mengadakan satu perjumpaan bersama Dewan bahasa dan Pustaka (DBP) bagi mengkaji semula isu bahasa pesanan khidmat ringkas (SMS) yang digunakan ketika menulis karangan mahupun di dalam tesis.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zakarshi, berkata perjumpaan yang boleh dilaksanakan agensi dan juga kementerian bersama DBP adalah bagi mencapai kata sepakat mengeluarkan garis panduan sama ada penggunaan bahasa singkatan boleh digunakan dalam peperiksaan mahupun tesis di peringkat universiti.

“Isu bahasa singkatan yang digunakan dalam peperiksaan adalah satu kesan negatif dan ia mampu mencemarkan kemurnian bahasa Melayu itu sendiri.

“Selepas mengadakan perjumpaan bersama agensi bahasa dan badan kerajaan, DBP boleh mengeluarkan satu garis panduan terkini yang mana boleh mengelakkan pelajar atau anak muda tidak menggunakan bahasa SMS atau bahasa singkat dalam pembelajaran terutama bahasa Melayu,” katanya ketika ditemui selepas menyampaikan Anugerah Pelajar cemerlang (APC) Berita Harian 2010 di Balai Berita di sini, hari ini.