Prof. Dr Japar Sidik Bujang memberi penerangan mengenai modul Program Buku Hijau yang digunakan oleh pihak UPM kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan isterinya Datin Norlin.

Pihak Universiti Putra Malaysia berhasrat untuk memperluas sasaran Progam Buku Hijau yang baru sahaja dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi di kampus universiti berkenaan di Bintulu hari ini pada masa akan datang.

“Buat masa ini, fokus program Buku Hijau masih tertumpu kepada pelajar sahaja dan kita harapkan mereka kemudiannya akan membuat pengembangan program ini kepada komuniti luar,” kata Prof. Dr Japar Sidik Bujang Dekan Fakulti Sains Pertanian dan Makanan.

UPM merupakan salah sebuah daripada lima universiti di Malaysia yang diberi pengiktirafan sebagai ‘universiti penyelidikan’ oleh kerajaan dan universiti ini memiliki kepakaran yang luas dalam bidang pertanian dan ternakan.

Prof Japar berkata, UPM merasakan kepakaran yang dimilikinya perlu dikongsi bersama masyarakat luar, seiring dengan kehendak kerajaan yang mahu pengeluaran hasil tanaman dan ternakan petani dipertingkatkan melalui teknik pertanian moden dan berteknologi tinggi.

“Kita nak tunjuk, nak bantu komuniti luar cara dan teknik penanaman yang lebih efektif serta menggunakan bahan-bahan yang telah kita selidiki secara mendalam di UPM,” katanya.

Mengambil contoh penanaman jagung, Prof. Japar berkata, di luar bandar masih ramai petani yang mempraktikkan teknik menebuk lubang, cara tradisional yang tidak efektif.

“Oleh itu kita dapati jagung yang mereka tanam apabila tumbuh, tidak sekata – ada yang rendah, tinggi, kecil, besar, berbunga dan berbuah dalam masa yang berbeza-beza, tidak sama waktu,” katanya sambil menambah teknik tersebut amat merugikan para petani.

Ini berbeza dengan teknik yang pihak UPM praktik sekarang, yang akan menghasilkan jagung yang berbunga, berbuah dan dituai dalam jangka masa yang sama.

“Teknik ini amat menguntungkan, kerana mampu mengeluarkan hasil serentak, sebanyak mana yang pihak petani kehendaki,” katanya.

Untuk mengikis persepsi negatif terhadap bidang pertanian dan untuk menarik lebih banyak pelajar terutamanya di peringkat sekolah rendah dan menengah untuk mengikuti program pertanian, pihak UPM membuat beberapa pendekatan.

Pihak UPM kata Prof. Japar akan memilih beberapa sekolah untuk didedahkan kepada program Buku Hijau ini.

Murid-murid dari sekolah yang terpilih akan dijemput untuk datang melawat ke tapak pertanian universiti, untuk melihat sendiri suasana pembelajaran pertanian dilakukan.

Melalui pendedahan awal tersebut, diharapkan boleh menimbul minat dalam kalangan pelajar sekolah untuk mengambil bidang pertanian apabila menjejak kaki di universiti.
Di samping itu, pihak UPM juga merancang untuk memperluas program buku hijau ini kepada kolej komuniti.

Menurut Prof. Japar, pihak UPM telah mengadakan perbincangan dengan beberapa Kolej komuniti di Malaysia terutama yang berminat untuk menggunakan Program Buku Hijau yang dipraktikkan oleh UPM.

“Kita sudah ada perbincangan pertama. Perbincangan kedua nanti kita akan bagi ‘training of the trainers’ cara-cara menjalankan program ini,” katanya.