Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber Kedua Sarawak, Datuk Seri Awang Tengah Ali Hassan berkata kepimpinan sekolah kini semakin mencabar sejajar dengan perubahan masa dan harapan tinggi masyarakat kepada warga pendidik.

Peranan pengetua sekarang bukan sekadar pemimpin di sekolah tetapi juga kepada masyarakat disekitarnya, kata beliau ketika perasmian mesyuarat tahunan Persatuan Pengetua Sekolah Menengah Sarawak di salah sebuah hotel di Bintulu hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Menteri Muda Perumahan dan Pembangunan Bandar Datuk Abdul Aziz.

Menurut Awang Tengah, perubahan serta kecanggihan teknologi yang menjadi sumber rujukan ilmu seperti Internet dan media cetak tidak menjadikan peranan guru dan pengetua semakin kecil, malah sebaliknya.

“Suatu ketika dulu guru menjadi sumber rujukan segala-galanya, tetapi peranan tersebut sudah meluas.

“Bagaimanapun ancaman sumber ini adalah satu cabaran baru kepada guru dan pengetua harus lebih jauh mendahului masa dan menyesuaikan kepimpinan mereka dengan persekitaran baru ini,” katanya.

Dalam keghairahan mengejar keputusan peperiksaan yang bermutu tunggu, pengetua juga kata Awang Tengah perlu melihat nilai-nilai kemanusiaan dan kesopanan diterapkan kepada pelajar didikan mereka.

“Gejala disiplin sekolah turut menguji kewibawaan para pengetua untuk menanganinya dengan cermat tetapi berkesan.

Awang Tengah juga menyeru kepada para ibu-bapa untuk bertindak sebagai pendokong dan pelengkap kepada kecermelangan sekolah anak-anak mereka, bukannya sebagai pendesak sahaja.

Yang di-pertua PPSMS, Pn. Mastura Bt. Anuar dalam ucapan alu-aluan berharap pihak kerajaan akan mempertimbangkan resolusi Majlis Pengetua Malaysia yang mahu setiap pengetua yang masih berada di tahap jawatan D48 – diterap terus ke jawatan D52.

“Ini merupakan antara perjuangan PPSMS sejak tahun 1990an lagi,” kata Pn. Mastura.

Persidangan pengetua yang ke-46 bermula hari ini akan berakhir pada hari Rabu, 29 Jun dan dihadiri seramai 183 pengetua dari seluruh negeri Sarawak.