Encik Ismawie Salleh, Timbalan Residen Sosial Bintulu.

Kadar perceraian dan jumlah perkahwinan dibawah umur yang tinggi, antara pelbagai masalah sosial yang paling membimbangkan pihak berkuasa di Bintulu menurut encik Ismawie Salleh Timbalan Residen Sosial.

Ini kerana rumah tangga yang porak-peranda disebabkan perceraian antara faktor penyumbang semakin meningkatnya kadar jenayah di Bintulu – terutamanya di kalangan remaja, menurut beliau.

“Apabila bercerai, anak banyak pula  – akan timbul pelbagai masalah – kewangan, anak tidak terjaga dan sebagainya,” kata beliau ketika membentang kertas kerja “Trend and Senario Semasa Pembangunan Sosial di Bahagian Bintulu” di Wisma Bintulu hari ini.

Majlis ‘Randau Agenda Sosial’ tersebut adalah anjuran Kementerian Pembangunan Sosial dan Urbanisasi, Sarawak dengan kerjasama pihak Pejabat Residen Bintulu.

Ia dihadiri para ketua kaum, polis, kastam, pelajar sekolah, guru serta wakil agensi-agensi kerajaan pusat dari sekitar bandar Bintulu.

Ismawie berkata beliau pernah bertanya kepada remaja dan budak-budak dibawah umur yang berpeleseran disekitar bandar Bintulu sehingga jauh malam.

“Kamu tahu mereka jawab apa? Bestlah berjalan-jalan sehingga jauh malam,” kata beliau sambil menambah “inilah merupakan antara permasalahan yang dihadapi oleh keluarga yang bercerai – anak-anak jadi terbiar, tidak terjaga.”

Jika dilihat secara sepintas lalu – masalah ini kelihatan masalah peribadi orang lain yang kita tidak perlu risaukan, kata Ismawie.

Tetapi sebenarnya ia merupakan satu kerugian besar kepada masyarakat dan negara.

Hadirin mendengar dengan khusyuk pembentangan encik Ismawie - ketika 'Randau Agenda Sosial' di Wisma BDA hari ini.

Apabila mereka terjerebak dengan dadah, misalnya, kata beliau, kerajaan akan terpaksa berbelanja ratusan ribu untuk memulihkan mereka.

Duit untuk pemulihan dan rawatan kepada penagih dadah ini sepatutnya boleh guna untuk buat benda lain yang lebih berfaedah.

Tetapi kerana masalah penagihan dadah yang berpunca pada awalnya dari keluarga yang berpecah – akhirnya jadi masalah negara  – bukan individu lagi, kata beliau.

Selain masalah keluarga, masalah besar lain yang turut membelenggu pihak berkuasa di Bintulu – kata Ismawie adalah – masalah setinggan, kemiskinan dan jenayah.

Masalah vandalisme juga menurut Ismawie, merupakan masalah yang amat membimbangkan di Bintulu – terutamanya vandalisme harta benda awam di sekitar promenade, taman milenium dan kawasan bandar.

Di sepanjang promenade, sahaja menurut Ismawie, kerajaan telah kerugian ratusan ribu ringgit kerana kesemua enam pondok yang dibina dengan cantik telah di rosakkan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Kerjasama pihak awam amat diperlukan untuk membendung gejala sebegini menurut Ismawie.